Wednesday, 16 May 2012

STRESS??TAKE A TIME LAH...



kerja melambak


Adakah anda mengalami tekanan (stres) ketika ini? Mungkin ramai yang stres ketika berkerja bukan? Rata-rata manusia yang mengalami tekanan adalah datangnya dari persekitaran kerja.
Untuk mengenali tanda-tanda stres dalam diri anda, pertama kalinya anda perlu membacanya di sini. Jika anda telah mengenali masalah yang membawa kepada tekanan kerja atau tekanan hidup anda, maka anda perlu menangani tekanan tersebut seberapa segera.


Kaji situasi tekanan anda!

Ini adalah langkah pertama yang perlu anda lakukan untuk ke langkah yang seterusnya. Tekanan berlaku pasti ada puncanya. Maka kaji secara terperinci untuk mengenal pasti keseluruhan apakah punca tekanan anda. Adakah disebabkan faktor persekitaran di tempat kerja, atau faktor kelemahan diri, atau masalah keluarga. Semua ini perlu dianalisis agar anda mampu melakukan pelan tindakan seterusnya untuk menangani stres dalam diri anda.

Jika stres berpunca dari kerja anda, maka anda perlu berjumpa dengan bos anda atau mengatur kembali jadual kerja anda agar wujud keseimbangan mengikut keutamaan kerja anda.
Jika ianya bukan berpunca dari kerja, maka berkemungkinan berlaku kerana kendiri anda yang lemah dan tidak bersemangat. Jangan biarkan ia terus berlaku. Carilah ketenangan segera atau sesuatu yang boleh meningkatkan kembali motivasi kerja anda.

Namun jika ianya adalah masalah keluarga yang telah dicampur adukkan dengan masalah kerja maka tidak dapat tidak anda perlu berbincang dengan keluarga anda bahawa tekanan kerja anda semakin bertambah kerana apa yang berlaku di dalam keluarga anda. Tanganinya seberapa segera.

Rancang kerja anda

Saya pasti semua orang mengalami situasi tekanan di tempat kerja. Sama ada banyak ataupun sedikit itu semua terpulang kepada situasi kerja yang dihadapi. Tekanan kerja akan melemahkan pemikiran dan juga melembapkan tindakan kerana minda tidak lagi mampu berfikir untuk menyelesaikan masalah.

Selalunya masalah yang sering dialami ialah kegagalan menyusun kerja yang diterima. Gagal menyusun keutamaan kerja akan meletakkan anda dalam keadaan stres dan tertekan. Setiap tugasan atau kerja pasti ada due date yang telah ditetapkan. Berdasarkan due date anda sudah boleh melihat keutamaan kerja anda. Yang penting dan yang segera perlu diutamakan terlebih dahulu berbanding yang penting tidak segera.

Merancang kerja akan melatih anda tentang disiplin masa yang perlu diperbetulkan. Barulah masa tidak terbuang begitu saja. Anda juga boleh lakukan sendiri dengan membuat jadual jangka panjang seperti dalam tempoh tiga bulan apa yang ingin anda siapkan. Kemudian kecilkan lagi dengan melakukan perancangan kerja untuk satu bulan. Maka kerja anda akan disusun dengan baik dan anda tidak pening lagi untuk melakukannya.

Carilah masa untuk bercuti

Setiap hari anda pasti menahan tekanan kerja yang kadangkala tidak dapat dihadapi. Bebanan kerja yang berterusan pastinya akan memberikan reputasi buruk terhadap kerja anda. Adakalanya minda tepu dengan kerja sehingga tidak mampu untuk memikirkan jalan penyelesaian.

Pada waktu inilah anda memerlukan masa rehat untuk mengembalikan siapa diri anda sebenarnya. Bagi anda yang bekerja di organisasi kerajaan, anda mempunyai cuti tahunan yang banyak. Jadi ketika anda mempunyai masalah berkenaan kerja jangan teruskan masalah ini menghantui anda. Tiada salahnya mengambil cuti rehat untuk mengembalikan potensi diri anda sebenar dalam bekerja kerana selepas rehat dan bercuti pasti anda lebih proaktif dan dinamik untuk menghadapi masalah kerja.

Anda boleh memilih lokasi percutian yang sesuai dengan diri anda. Jika anda meminati suasana pantai anda boleh pergi ke pulau-pulau untuk lebih menikmati suasana ini. Jika anda inginkan aktiviti lasak anda boleh memilih untuk kawasan hutan rekreasi yang kaya dengan kicauan burung, warna-warni rimba yang pasti memberikan ketenangan.

Saya berharap dengan tips diatas boleh membantu mengurangkan tekanan anda. Tekanan yang melampau boleh membahayakan kehidupan seharian anda. Mungkin anda terpaksa melepaskan tekanan itu pada keluarga anda, pasangan anda atau sesiapa sahaja yang rapat pada anda walhal mereka tidak bersalah. Jadi adalah amat penting bagi anda untuk mengurangkan tekanan anda demi mereka yang tersayang.


Comments
0 Comments

No comments: